Terbaca artikel ni kat suratkhabar BERITA HARIAN semalam. Nak kongsi ngan kawan2 kat cni......moga menjadi ilmu dan panduan yang bermanfaat:
SUAMI SEPATUTNYA FAHAM TANGGUNGJAWAB BERAT WANITA URUS RUMAH TANGGA, ASUH ANAK
Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Saya tertarik apabila membaca kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa isteri yang tidak bertanggungjwab menjadi punca suami menjalinkan hubungan sulit.
Beliau mendakwa, ada masanya bila suami 'ada keinginan' tetapi pulang ke rumah, isteri kata tunggu kerana 'sedang masak' atau 'sedang bersiap untuk ziarah saudara mara'. Dalam islam, katanya, seorang isteri sepatutnya menghentikan apa yang sedang dilakukan untuk memenuhi tuntutan si suami.
Ibrahim mendakwa, kerana tidak mendapat layanan isteri, ada suami pergi ke tempat sulit untuk memuaskan nafsu serakah mereka.
Saya tidak pasti berkaitan kajian yang pernah dijalankan bagi menyokong penemuan ini. Perlu dikemukakan statistik berkaitansebelum saya dapat mengambil pendirian dalam hal ini. Bagaimanapun, pada pandangan saya memang ada sedikit kebenaran kenyataan Presiden PERKASA itu khususnya tanggungjawab isteri melayan keinginan dan kehendak suami.
Memang ada dikalangan ulama sudah disepakati mengenai tanggungjawab isteri terhadap suami ini. Nas Al-Quran dan hadis juga banyak boleh dikutip bagi menyokong hujah ini.
Persoalan juga timbul dari kenyataan itu adakah kebanyakkan suami begitu rendah imannya melakukan larangan Allah semata-mata kerana isterinya tidak mahu memenuhi tuntutannya? Tidak ada jalan lainkah yang diajar agama bagi menangahi masalah sebegini?
Dalam memperkatakan tanggungjawab isteri ini kita sebenarnya tidak boleh lari daripada meneliti tanggungjawab suami juga. Jika ingin mengambil Islam sebagai autoriti, kita mesti mengambil secara keseluruhan dan bukan dalam kompartmen terten tu sahaja.
Memang benar isteri perlu berhenti daripada membuat perkara lain sekiranya suami mempunyai keinginan untuk bersama isterinya. Memang benar juga isteri perlu berhias untuk suami dan melayan suaminya. Tetapi realitinyaiateri itu juga turut dibebankan dengan tanggungjawab lain yang tidak perlu sebenarnya dipikul isteri. Urusan rumah tangga dan anak secara ekslusif digalas isteri.
Dalam Islam tugasan menyediakan makan minum suami sebenarnya bukan tanggungjawab hakiki isteri. Tetapi isteri sekarang bukan saja dibebankan dengan tanggungjawab memasak malah menjaga anak dan ramai juga yang bekerja bersama-sama membantu suami meningkatkan ekonomi keluarga.
Semua ini tanggungjawab suami yang perlu menyediakannya. Suami sepatutnya menyediakan pembantu rumah. Begitu juga halnya mengasuh anak.
Sekiranya semua ini disediakan suami saya berpandangan pada masa itu, isteri wajib menurut apa saja kehendak suami.
Dalam Islam apabila seseorang itu diberikan sesuatu keistimewaan ia bukan saja datang begitu saja. Ia juga sebenarnya juga disertakan dengan Tanggungjawab. Lebih banyak keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang disertakan. Setiap suami harus sedar tanggungjawab ini dan tidak hanya memikirkan hak dan keistimewaan diberikan kepada mereka sahaja.
Sebagai seorang manusia, isteri juga mempunyai perasaan dan kelemahan. Sudah pasti isteri yang pulang dari bekerja itu berasa letih dengan kerja di pejabat.
Amat tidak munasabah sekiranya isteri ini juga selepas pulang dari kerja dibebankan lagi dengan pelbagai tugasan lain sedangkan si suami duduk menonton televisyen ataupun beristirehat saja. Sebagai ketua keluarga suami perlu menjaga kebajikan keluarganya. Suami akan dipersoalkan kelak sekiranya gagal mentadbir keluarganya dengan baik.
Saya sangat percaya jika suami isteri mengambil neraca Islam sebagai panduan keharmonian rumah tangga mereka sudah pasti tiada seorangpun akan teraniaya dalam keluarga. Malah isu mengadakan hubungan sulit dengan orang lain jugatidak akan timbul kerana hubungan suami isteri itu disulami dengan sulaman akhlak budi pekerti dan ketakwaan.
Keengganan isteri melayan suami bukan tiket kepada suami untuk berlaku curang. Islam mengajar bagaimana mendidik isteri nusyuz atau derhaka kepada perintah sah suaminya. Pada awalnya suami hendaklah menasihati isterinya supaya tidak derhaka pada suaminya.
Sekiranya masih berdegil maka hendaklah diasingkan tempat tidur antara suami dan isteri dan sekiranya isteri itu masih berdegil ingkar kepada arahan suaminya dibenarkan suaminya memukul isterinya bagi tujuan mengajar.Bagaimanapun pukulan hendaklah tidak mencederakan isteri dan tidak boleh dipukul pada bahagian tertentu seperti muka dan bahagian sulit.
Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk sebelah kiri lelaki. Tulang rusuk ini begitu dekat dengan hati sebagai simbolik wanita itu hendaklah dicintai. Wanita tidak dijalankan daripada tulang di kepala untuk dijunjung ataupun tulang kaki untuk dipijak. Begitu indahnya kejadian wanita dijadikan Allah untuk kita fikirkan bersama.Berbalik kepada kenyataan Ibrahim tadi, saya menyarankan tidak kira suami ataupun isteri perlu melihat dalam diri mereka terlebih dalu sebelum menunding jari jari mendakwa orang lain melakukan apa-apa kesilapan ataupun menjadi penyebab berlakunya gejala sosial.
Mendakwa orang lain menjadi penyebab kepada perlakuan salah seseorang yang lain amat tidak adil. Sebaliknya kita hendaklah melihat kepada diri sendiri sebelum menyatakan orang lain bersalah.
No comments:
Post a Comment